skip to main | skip to sidebar

Usahawan Graduan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
Friday, November 11, 2011

Pengusaha Laman Web Dan Blog

Posted by Administrator at 11:55 AM –
 
HANYA menerusi iklan yang masuk ke dalam laman web atau blog, Samsul Zamzuri mampu memperoleh pendapatan lima angka sebulan.

SELAIN daripada perniagaan Internet, seseorang juga boleh memperoleh pendapatan menerusi iklan yang masuk ke dalam laman web atau blog mereka. Menarik bukan? Anda hanya menulis atau mengemas kini laman web atau blog anda, dan iklan yang masuk memberikan anda pulangan yang besar. 

Itulah yang telah terjadi kepada seorang pengusaha laman web dan blog, Samsul Zamzuri Abu Bakar yang kini hanya bekerja di rumahnya di Sungai Buloh, Selangor. Kerjaya sebagai juruaudit dalaman ditinggalkan Samsul Zamzuri, 33, sejak tahun 2005 setelah dua tahun membangunkan laman web dan blog.

"Saya mengambil keputusan itu setelah melihat ia mampu menjana pendapatan empat kali ganda lebih besar daripada apa yang saya lakukan pada masa itu.Kini, setiap bulan, saya mampu memperoleh pendapatan lima angka," kata Samsul yang merupakan graduan dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

"Dan saya percaya, bukan setakat puluhan ribu, bahkan dengan pekerjaan ini mampu menjadikan seseorang itu jutawan. Di Malaysia, barangkali belum ada sesiapa yang bergelar jutawan hanya dengan iklan yang masuk ke dalam laman web atau blog.Tapi di luar negara, saya yakin ada. Yalah, kalau pendapatan sehari mereka mampu mencecah AS$5,000 dolar (RM15,950) masakan tidak boleh jadi jutawan," ujarnya yang mengusahakan laman web, portal, direktori web dan blog. Antaranya ialah www.osx-e.com dan blog webmaster Malaysia www.szab.net/blog/. 

Menurut Samsul, pengiraan pendapatan menerusi laman web atau blog ialah bergantung kepada berapa banyak pengguna yang mengklik iklan tersebut dan bagi iklan banner pula berapa kali ia muncul berdasarkan lawatan pengguna yang masuk ke dalam laman webnya.

"Sebagai contoh, bagi iklan klik, satu klik iklan itu sahaja boleh bernilai serendah 3 sen Amerika sehingga menjangkau AS$80 dolar (RM255), setakat yang pernah saya ketahui. Nilainya berbeza mengikut iklan. Saya kebiasaannya mendapat antara 4 hingga 5 dolar (RM16) untuk satu iklan yang diklik pengguna. Bagi iklan banner pula, 1,000 kemunculan menyamai 8 dolar (RM25)," ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai prosedur lazim yang dilalui untuk mendapatkan iklan, pengusaha laman web atau blog perlu memohon kemasukan iklan daripada syarikat perantara pengiklanan seperti Google Adsense menerusi laman web Google atau ValueClick Media. Setelah mengisi borang permohonan yang berkehendakkan butiran mengenai laman web diisi, laman web berkenaan akan diperiksa dan diuji sama ada layak atau tidak untuk dimasuki iklan.

Pendapatan boleh diterima dengan beberapa cara antaranya kiriman cek atau sistem western union yang ditawarkan perkhidmatannya oleh bank dan pihak tertentu seperti bank CIMB, RHB dan pejabat pos. Samsul turut menerangkan, selain daripada mendapat iklan secara perantaraan, ada juga iklan yang masuk ke dalam laman webnya secara terus. Ini biasanya melibatkan pengiklan dalam negara.

"Ia dilakukan dengan cara saya mengiklankan dalam laman web saya pelawaan untuk orang ramai atau pengiklan yang berminat untuk mengiklankan produk mereka di laman web atau blog saya," katanya. Kini, masa Samsul banyak dihabiskan di rumah. Katanya, boleh dikatakan komputer di rumahnya terbuka 24 jam.

"Malam bila hendak tidur sahaja baru tutup," katanya yang sedang menunggu masa untuk mengambil anaknya di sekolah pada hari itu. Tambah Samsul: "Apa yang boleh saya katakan, tidak ada ruginya melakukan kerja ini. Dengan modal yang terlalu sedikit, kita tidak akan rugi. Bahkan, margin keuntungan kita (perbezaan antara modal dan keuntungan) boleh jadi lebih tinggi daripada syarikat-syarikat besar. Apapun, nasihat saya sebelum menjadikannya kerjaya yang serius, lakukannya sebagai hobi kerana nasib juga memainkan peranan. Bukan semua laman web mudah melepasi ujian kemasukan iklan."



[ Read More ]
Read more...

Mohd. Shahrul lulusan UPM usahawan tani berjaya

Posted by Administrator at 7:58 AM –
 

KULIM 12 Mei – Ketika rakan-rakan lain memilih kerja makan gaji selepas menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM), namun bagi Mohd. Shahrul Daud, dia lebih senang menggunakan ilmu yang dipelajari untuk menceburi bidang usahawan tani. Lulusan Diploma Pertanian yang berusia 25 tahun itu memilih untuk mengusahakan sembilan projek pertanian dan asas tani di beberapa lokasi sekitar Kulim.

Projek tersebut ialah menternak lembu tenusu, lembu pedaging, itik telur, tanaman pisang berangan dan emas, tanaman nenas, tanaman fertigasi (cili merah dan terung), produk hiliran (telur masin dan dadih) dan baja kompos.

Menurut Mohd. Shahrul, penglibatan aktif dalam bidang pertanian bermula kira-kira tiga tahun lalu setelah melihat potensi luas di samping teruja dengan konsep Pertanian Adalah Perniagaan yang diperkenalkan kerajaan.

“Saya menamatkan pengajian dari UPM pada tahun 2004. Apabila memikirkan ilmu yang dipelajari ketika menuntut di UPM, saya memberanikan diri berhenti kerja dan masuk ke bidang pertanian,” katanya ketika ditemui di ladangnya, MND Agroternak Farm di Kampung Tok Rasul di sini hari ini.

Mohd. Shahrul memberitahu, bermodalkan duit gaji sebanyak RM2,400, dia mengambil keputusan membeli dua ekor lembu pedaging.

“Sekarang lembu pedaging daripada dua ekor, sudah bertambah kepada 45 ekor,” katanya. Katanya lagi, tanpa berasa jemu, dia kemudian mencuba pula kaedah menternak lembu tenusu dan jumlahnya kini meningkat kepada 25 ekor.

“Dengan jumlah itu, ia cukup untuk menghasilkan 45 hingga 60 liter susu segar setiap hari, kini tidak pernah cukup kerana mendapat sambutan hangat dari restoran dan kedai-kedai sekitar kawasan ini,” jelasnya.

Mohd. Shahrul yang pernah memenangi hadiah Anugerah Usahawan Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kedah 2007 dan Anugerah Belia Kedah 2007 (Wira Tani) berharap dapat menambah bekalan susu pada masa akan datang. Sementara itu, Mohd. Shahrul turut menternak lebih 1,000 ekor itik jawa yang mampu menghasilkan telur kira-kira 750 butir sehari.

(Sumber :: Mohd. Shahrul lulusan UPM usahawan tani berjaya)

[ Read More ]
Read more...

Tanaman Cendawan Berbaloi

Posted by Administrator at 7:44 AM –
 
Eruan bersama cendawannya

DUNGUN 24 Nov. – Tindakan nekad seorang pemuda, Mohd. Eruan Salleh, 28, berhenti kerja di sebuah syarikat terkemuka di ibu negara semata-mata untuk melibatkan diri secara serius dalam bidang perusahaan cendawan kini ternyata berbaloi.

Biarpun baru setahun mengusahakan projek tanaman cendawan tiram kelabu, bekas pegawai teknikal itu kini mampu menarik nafas lega setelah pendapatannya mencapai angka RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.
Eruan ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, dia gembira dan berasa bangga dengan kejayaan yang dikecapinya sekarang termasuk berjaya menubuhkan syarikat miliknya sendiri iaitu Agro Mesra Trading.

“Mulai sekarang, saya tidak akan menoleh lagi ke belakang, saya akan pastikan usaha dan pengorbanan saya ini akan terus berkekalan serta tidak menjadi sia-sia,” katanya ketika ditemui di tapak semaian berdekatan rumahnya di Kampung Padang Pulut di sini semalam.

Eruan yang juga anak keempat daripada lapan beradik pernah mengikuti pengajian Veterinar di peringkat diploma di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1998 sebelum melanjutkan pelajaran peringkat ijazah dalam bidang Sains Makanan di universiti yang sama. Selepas menamatkan pengajian pada tahun 2004, dia bekerja di sebuah agensi pertanian di ibu negara sebagai pegawai teknikal dengan gaji permulaan RM1,800 bagaimanapun berhenti pada hujung tahun lalu bagi memberi tumpuan terhadap tanaman cendawan.

Eruan berkata, berbekalkan modal sendiri dan bantuan ahli keluarga sebanyak RM3,000, dia dan keluarganya telah memulakan projek penanaman cendawan tiram kelabu berhampiran rumahnya.

“Sepanjang empat hingga lima bulan pertama projek ini diusahakan, kami berjaya memperoleh pendapatan purata sebanyak RM2,000 sebulan hasil daripada jualan sebanyak lima kilogram cendawan sehari ke pasar Dungun dan kedai-kedai makan sekitar. Namun, selepas mengambil keputusan untuk memperbesarkan projek penanaman ini beberapa bulan lalu, kini jualan dan hasil pendapatan kami meningkat kepada RM3,000 hingga RM4,000 sebulan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sepanjang mengusahakan projek cendawan tersebut, dia turut menghadapi pelbagai masalah termasuk daripada segi bekalan, cara memproses dan juga serangan penyakit namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha. Katanya, selain mengusahakan tanaman itu, dia turut menyediakan khidmat menjual peralatan tanaman cendawan dan menawarkan kursus berkaitan pada yuran yang berpatutan.


(Sumber :: Tanaman cendawan berbaloi)
[ Read More ]
Read more...

Coklat Diabetis Zyraz

Posted by Administrator at 7:32 AM –
 



SETELAH tiga nama dikatakan tidak serasi, Azian Razak akhirnya memilih untuk menggabungkan nama ibu dan bapa tercinta sebagai jenama produk coklat keluaran syarikatnya, Zyraz.Nama itu bukan saja percantuman nama ibunya, Zaiton Mahmud dan bapanya, Razak Ujang, yang sedap disebut, malah memberi impak baik buat perniagaan yang dijalankan.

Sejak mengambil keputusan untuk menjadi usahawan, Azian sememangnya tidak menoleh ke belakang lagi. Bahkan, beliau menggunakan segala pengalaman yang ada ketika berkhidmat sebagai eksekutif penyelidikan di sebuah syarikat pemprosesan minyak kelapa sawit, untuk menghasilkan produk coklat buatan sendiri. Kesungguhannya untuk menjadi usahawan telah meyakinkan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk memberi modal serta bimbingan perniagaan.

Berbekalkan minat dan tekad, Azian menghasilkan coklat resipi tempatan untuk pasaran tempatan juga antarabangsa. Istimewanya, coklat yang dihasilkan diadun menggunakan resipinya sendiri dan dipertingkatkan menerusi kajian yang dijalankan bersama institusi berkaitan pembangunan makanan.

“Sebagai usahawan saya tahu perniagaan memang banyak persaingan, justeru saya cuba mencipta kelainan dengan memberi nilai tambah supaya ia bukan sahaja lazat malah terkandung khasiat dan manfaat bagi yang menikmatinya,” jelas Azian ketika ditemui di Pameran Halal Antarabangsa, di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ke arah matlamat itu, Azian yang baru tiga tahun dalam industri ini sedang dalam kajian untuk menghasilkan coklat yang mengandungi enzim. Di samping itu, beliau juga telah bekerjasama dengan Lembaga Koko Malaysia menghasilkan coklat diabetis.

Menurutnya, coklat tersebut agak istimewa kerana menggunakan gula malthitol dan isomald, iaitu manisan bukan berasaskan gula tebu yang sesuai diambil oleh pesakit kencing manis. Azian yang pada mulanya hanya beroperasi dari rumah, kini bersyukur kerana diberi sebuah pusat inkubator oleh Jabatan Pertanian untuk mempertingkatkan lagi pengeluaran dan kualiti coklat.

“Sejak beroperasi di Pusat Pemprosesan Makanan di Pusat Pertanian Ampang Tinggi, Negeri Sembilan, saya berjaya menghasilkan 200 keping coklat bersamaan kira-kira 20 kilogram coklat sehari,” ujar graduan ijazah sarjana muda industri kimia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini.

Jenama yang telah mendapat cop dagang ini dibungkus dalam pek menarik dan dipantau oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM). Ia boleh didapati dalam tiga kategori iaitu yang dipek 50 kilogram dengan inti badam, berbentuk bar dan yang mengandungi inti manisan di tengah-tengah. Dari segi pemasaran pula, Azian memilih untuk memasarkan produknya menerusi sistem ejen, selain mengikuti promosi bergerak di pusat membeli belah dan koperasi sekolah. Sebagai perancangan masa depan, Azian mahukan agar produknya diterima semua peringkat dan dapat menembusi pasaran kedai serbaneka di seluruh negara.


(Sumber :: Coklat diabetis Zyraz)
[ Read More ]
Read more...
Thursday, November 10, 2011

Irfan Khairi Jutawan Muda

Posted by Administrator at 11:17 PM –
 
Irfan Khairi, Jutawan Internet
Memperoleh keuntungan lumayan hingga mampu bergelar jutawan pada usia muda menjadi impian setiap insan. Pierre Omidyar, pengasas laman lelongan menerusi internet yang lebih dikenali sebagai eBay menjadi jutawan pada usia yang belum pun mencecah 30 tahun.
 
Berikutan kejayaan Omidyar, mendorong anak muda tempatan lulusan ijazah Sarjana Muda Reka Cipta Multimedia dari Universiti Staffordshire, United Kingdom [UK], Irfan Khairi, 28 tahun, menceburi perniagaan sendiri di Internet.


Pemuda kelahiran Perak, tetapi dibesarkan di Selangor dan sekarang menetap di Seremban ini mengaplikasikan sepenuhnya pengetahuan Internet dan Multimedia yang dipelajarinya untuk menjadi jutawan muda seawal umur 25 tahun. Tidak ada siapa yang menduga, anak muda yang agak pemalu dan sentiasa merendah diri ketika di bangku sekolah itu berjaya duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan tokoh jutawan Internet yang lain.


Menyoroti sejarah sebelum memegang status itu, Irfan setelah habis pengajian ijazah pertamanya menerima tawaran bekerja di salah sebuah syarikat teknologi maklumat [IT] terbesar di Birmingham iaitu Netmedia [UK] Ltd. Sebagai pereka sistem multimedia dan perunding Internet, beliau bertanggungjawab mereka cipta sistem pembelajaran Internet untuk sekolah-sekolah di UK yang dikenali sebagai Learning Grid. Sekarang lebih daripada 5000 buah sekolah di UK menggunakan sistem tersebut.


Oleh sebab minat dan pengetahuan yang mendalam dalam bidang Internet dan perniagaan, beliau mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan Internet secara sambilan pada 1999. Selepas mendapati pendapatan daripada perniagaan Internet miliknya itu bertambah berlipat kali ganda, beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan tersebut.


Semenjak itu, Irfan hanya bekerja sepenuh masa dari rumah dengan hanya menggunakan komputer riba dan Internet. Dalam masa tiga tahun beroperasi, salah satu perniagaannya memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM 1 juta tanpa pekerja dan peralatan komputer canggih. Modal permulaannya hanya RM500. Ditanya sejak bila mula terfikir untuk terlibat secara serius dalam bidang perniagaan seperti ini, Irfan dengan senyum yang tidak pernah lekang dari bibirnya menjawab, "Ketika berusia 18 tahun."


"Selepas Sijil Pelajaran Malaysia, saya mula memikirkan masa depan perniagaan ini. Saya berminat menceburinya setelah mendapat banyak sumber inspirasi melalui buku tentang kejayaan orang lain yang saya baca," katanya.


Kejayaan yang dimilikinya itu, menurut bapa kepada dua anak ini, memerlukan usaha yang bersungguh dan terancang. "Saya bukan bergelar jutawan dalam sekelip mata, tetapi mengambil masa tujuh tahun untuk sampai ke tahap ini," katanya. 


Menurut Irfan, semuanya bermula apabila beliau mula berminat mendalami kejayaan orang lain dalam bidang-bidang tertentu. "Saya dapati mereka berjaya kerana melakukan perkara yang disukai," katanya.


Meminati Bill Gates yang dianggap sebagai idolanya, beliau menyatakan kekagumannya terhadap manusia paling kaya di dunia itu. "Saya kagum dengan idea, konsep yang diketengahkan oleh beliau. Bill Gates juga seorang ayah yang baik. Walaupun beliau orang yang terkaya di dunia, tetapi masih tetap merendah diri.Kalau boleh saya ingin menjadi seperti beliau. Dari awal hingga menjadi kaya, beliau buat perkara yang diminatinya iaitu pengaturcaraan [programming], Beliau menjadi kaya sebab buat perkara yang diminatinya. Saya juga selalu sarankan kepada peserta bengkel kendalian saya supaya buat perkara yang mereka minat, jangan terikut-ikut dengan industri yang kita sendiri tidak tahu keadaannya. Kalau hendak mencapai kejayaan sebenarnya industri apa-apa pun boleh tetapi yang paling panting, kita minat," jelas beliau.


Ditanya tentang kelebihan perniagaan Internet, Irfan berkata, "Kemudahan Internet sebenarnya memberikan potensi cukup luas dalam memperluas perniagaan dan kita boleh berniaga apa-apa sahaja di luar sana. Jenis perniagaan itu pula bebas asalkan mendapat permintaan."


Menurut Irfan lagi perniagaan itu sesuai diceburi oleh siswazah menganggur kerana mereka mempunyaai pelbagai kepakaran bidang yang boleh diniagakan menerusi internet, asalkan mereka celik IT, mempunyaai peralatan komputer, dan kemudahan Internet.


"Perkara yang penting ialah kesungguhan dan yakin terhadap potensi diri untuk menjadi yang terbaik dan peluang menjadi jutawan sebenarnya terbuka luas untuk semua orang," tambah beliau.


Perniagaan Internet beliau yang menggunakan nama IdeaBubble, sehingga sekarang telah berkhidmat untuk lebih daripada 3000 orang pelanggan dari serata dunia. Kebanyakannya dari Amerika Syarikat, UK,negara-negara Eropah, Timur Tengah, Jepun dan Australia. Antara perniagaannya yang berjaya termasuk mereka cipta E-book, mereka cipta laman web dan grafik, perkhidmatan SEO [Searca Engine Optimization ], Menjual peta, penempahan hotel, perunding multimedia, E-Niaga, dan e-pembelajaran. 


Irfan juga tidak lokek berkongsi kejayaannya malah menulis buku berjudul, Rahsia Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar, kepada orang ramai yang berminat mempelajari teknik berkesan untuk menjalankan perniagaan Internet. Dalam buku tersebut, beliau mencadangkan supaya pembaca yang ingin menjalankan perniagaan Internet hanya menjual satu produk atau perkhidmatan sahaja untuk setiap laman web yang dibangunkan kerana ini memudahkan mereka mencapai kejayaan.


Tidak ketinggalan beliau juga memberikan beberapa panduan bagaimana pembaca boleh membangunkan laman web mereka sendiri. Buku setebal 158 halaman terbitan Truewealth Sendirian Berhad ini berguna untuk mereka yang merancang untuk menjalankan perniagaan Internet. Sehingga sekarang, Irfan mesih bekerja sepenuh masa di rumah dengan penuh selesa menggunakan Internet sebagai sumber pendapatan bersama-sama isteri dan sepasang cahaya mata. Katanya, hidup mesti diteruskan walaupun sudah bergelar jutawan.

'Walaupun harta akan ditinggalkan setelah mati, tetapi berfikirlah bahawa pekerjaan yang kita lakukan hari ini adalah untuk kesenangan 1000 tahun lagi. Maka, wajib bekerja dan bekerja'


(Sumber : http://www.rahsiainternet.com/media/dewan-masyarakat.htm)
[ Read More ]
Read more...

Siswazah Menganggur 5 Tahun Jadi Usahawan Tani Berjaya

Posted by Administrator at 11:11 PM –
 


JAMALUDDIN Abdul Rashid yang dulunya siswazah menganggur kini menjadi usahawan tani yang berjaya di hadapan banglonya di Kampung Sadek, Kupang, Kedah.

BALING 24 Mac – Kira-kira 19 tahun lalu, selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM), Jamaluddin Abdul Rashid bercita-cita untuk menjadi pegawai daerah. Bagaimanapun permohonannya bagi pekerjaan ke arah jawatan tersebut gagal. Beliau kemudian memohon pelbagai jawatan kerajaan tetapi nasib tidak menyebelahinya. Malu dengan keadaan dirinya yang masih menganggur walaupun memiliki segulung ijazah, Jamaluddin sanggup melakukan semua kerja termasuk menjadi buruh, bersawah dan menoreh getah – semua kerja yang tidak memerlukan ijazah.

Setelah lima tahun `menjaja’ ijazahnya, beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan pada 1986 memutuskan untuk tidak lagi memohon pekerjaan menggunakan kelulusannya itu. Sebaliknya, Jamaluddin, 45, berusaha membuka tapak semaian pokok bunga dan pokok teduhan dan kini beliau merupakan usahawan tani yang berjaya. Beliau bukan sahaja menjadi majikan kepada 10 orang pekerja tetapi mendapat kepercayaan sebuah pemaju terkenal untuk membekalkan pokok bunga dan teduhan ke jabatan kerajaan, sekolah dan swasta.

Hasil titik peluhnya mengusahakan tapak semaian yang dikenali sebagai `Semaian Ani Ayu’ itu, Jamaluddin yang pernah menyertai Skim Khidmat Siswazah (SKS) bagi graduan menganggur pada 1986, dapat membina sebuah banglo. Banglo tersergam indah di Kampung Sadek, Kupang yang berharga lebih RM300,000 itu adalah lambang kegigihan, kecekalan dan keberanian seorang siswazah yang tidak bergantung harap kepada kerajaan semata-mata.

“Saya tidak berminat untuk bekerja di pejabat lagi walaupun ditawarkan jawatan yang tinggi,” kata Jamaluddin ketika ditemui oleh Utusan Malaysia di rumahnya, hari ini. Jamaluddin berkata, beliau tidak pernah menyesal kerana cita-cita menjadi pegawai tinggi kerajaan tidak tercapai. Beliau turut menasihatkan graduan menganggur yang kini berjumlah 80,000 orang supaya tidak memilih pekerjaan dan berharap kerja `makan gaji’ semata-mata.

“Buatlah sebarang pekerjaan yang halal dan sebaik-baiknya buatlah pekerjaan sendiri kerana kita lebih bebas dan tidak terikat,” ujarnya.

Menceritakan kejayaannya itu, Jamaluddin berkata, beliau mendapat dorongan Jabatan Pertanian dan rakannya seorang lulusan Ijazah Sarjana Muda Botani Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk mengusahakan tapak semaian di atas tanah seluas satu hektar pada tahun 1991. Tambahnya, beliau sedar untuk berjaya, segala perasaan malu, ego dan rasa rendah diri perlu dikikis bagi mencapai matlamat itu.

Bapa kepada dua anak hasil perkongsian hidup bersama Noraini Sulaiman, 39, itu kini boleh berbangga apabila perniagaannya telah berkembang ke seluruh negara walaupun pendapatan awal hanya sekitar RM400 sebulan. Menurut Jamaluddin, ijazah yang diperoleh hanya sekadar untuk mendapat pengetahuan serta ilmu tetapi ia bukan lesen untuk memperoleh kerja bergaji besar tanpa berusaha sendiri.

“Saya semakin seronok apabila perniagaan ini mampu memberikan pendapatan lumayan sehingga melebihi empat angka,” kata Jamaluddin yang turut menyambut baik langkah kerajaan mewujudkan semula Skim Latihan Siswazah Menganggur (SLSM) bagi mengatasi masalah pengangguran di kalangan lepasan institusi pengajian tinggi. Bagaimanapun katanya, skim itu perlu meningkatkan bimbingan secara berterusan kepada bekas siswazah, sementara golongan itu pula perlu mengikis sikap untuk bekerja makan gaji semata-mata selepas tamat pengajian di universiti. Sebaliknya, Jamaluddin berusaha membuka tapak semaian pokok bunga dan pokok teduhan dan kini beliau merupakan usahawan tani yang berjaya.


(Sumber :: http://harizamrry.com/2007/11/siswazah-menganggur-5-tahun-jadi-usahawan-tani-berjaya)

[ Read More ]
Read more...

Tekad Usahawan Baru Generasi dot.my

Posted by Administrator at 11:10 PM –
 

SIAPA kata anak Melayu tidak mampu merentas sempadan dan berdiri di atas kaki sendiri untuk meniaga? Bagi enam anak muda, walaupun baru berusia 27 tahun tetapi mereka telah bergelar usahawan berjaya dengan masing-masing mempunyai perniagaan berpotensi. Bermula dari pertemuan di Pusat Pendidikan Antarabangsa (dahulunya Pusat Pendidikan Persediaan) di Shah Alam, mereka menjadikan persahabatan sebagai landasan untuk terus maju ke hadapan.

Bagi mereka, makan gaji mungkin jalan penyelesaian terakhir dalam mencari nafkah hidup kerana bagi mereka berniaga adalah jalannya. Ada yang berniaga perkhidmatan berkaitan komputer, kemahiran matematik, menyewa buku di Internet dan menganjur kursus memborong. Apa yang menarik, kini mereka bergabung tenaga untuk membangunkan portal e-dagangLot.my dengan matlamat membantu usahawan tempatan menceburi perniagaan di Internet. Untuk mengetahui lebih lanjut, mari kita berkenalan dengan mereka seorang demi seorang.


Si Genius Matematik
JIKA anda pernah mengikuti mengenai kejohanan Olympiad Matematik Antarabangsa (IMO) - kejohanan menguji kemampuan matematik para peserta yang belum memasuki kolej/universiti, anda tentu mengenali anak muda ini. Mohd. Suhaimi Ramly, lulusan Ijazah Sains (Matematik) dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) merupakan ketua jurulatih bagi pasukan Olympiad Malaysia. Beliau yang pernah menjadi juri termuda untuk menghakimi pertandingan IMO peringkat dunia merupakan antara pelajar terbaik pernah dilahirkan dari pertandingan itu. Penyertaannya dalam pertandingan itu mendorongnya untuk membangunkan modul dan kaedah memahami sains dan matematik dengan cara lebih efisien melalui syarikatnya Ardent Educational Consultants Sdn. Bhd.

"Matematik bukanlah satu yang susah jika kena cara pembelajarannya," katanya mengulas mengenai masalah penguasaan pelajaran itu di kalangan pelajar bumiputera.

Pakar Transaksi
SEORANG lagi usahawan dimaksudkan ialah Luqman Zulhusni Ismael, pengasas Gerbang Emas Sdn. Bhd. Graduan teknologi maklumat daripada Rensselaer Polytechnic Institute, New York ini mempunyai pengalaman dalam menyediakan sistem pembayaran elektronik untuk beberapa syarikat pelaburan dan teknologi. Kepakarannya dalam bidang kewangan dan teknologi itu digunakan untuk membangunkan syarikat Gerbang Emas dan juga membangunkan sistem pembayaran di portal Lot.my.

"Sekarang memang ramai orang menjual melalui blog tetapi mereka tidak mempunyai sistem pembayaran yang baik.., dan Lot.my mampu mengatasi masalah itu," kata Luqman Zulhusni.

Jaguh Borong
BAGI usahawan bumiputera yang pernah mengimport barangan dari China, nama Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman yang merupakan Pengarah Urusan, Anzac Consultancy tentu tidak asing lagi. Anak muda ini telah menjadi pengasas dalam memperkenalkan kursus memborong barangan di China secara teratur, khususnya untuk kaum peniaga bumiputera. Hasil pengalamannya digunakan untuk membantu usahawan bumiputera mengimport terus dari negara-negara seperti China, Thailand, Vietnam, India dan Korea Selatan.
Bagi bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar ini, golongan peniaga di negara ini telah lama bergantung kepada 'orang tengah.'

"Mereka perlu memberanikan diri mengunjungi negara asing untuk mengimport barangan secara terus," katanya yang kini giat menganjurkan kursus dan juga trip memborong ke China. Pengalaman itu jugalah digunakan untuk menganjurkan kursus-kursus membuka laman web di Lot.my yang diadakan dengan kerjasama Mega, Utusan Malaysia.

Bijak ICT
SEPERTI juga sahabatnya, anak muda yang bijak dengan pengetahuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini adalah lulusan Rennselear Polytechnic Institute, New York dalam bidang Sains Komputer. Mohd. Akmal Akhpah yang merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Projek untuk Lotdotmy Sdn. Bhd. ini mempunyai pengalaman luas ICT. Beliau pernah bekerja sebagai Jurutera Perisian dengan beberapa syarikat multinasional seperti Shell dan Intel sebelum memberi tumpuan membangunkan aplikasi e-dagang. Kepakarannya itu juga digunakan untuk membangunkan portal Lot.my.

"Pasaran ICT agak perlahan masa kini dan kebanyakan pengguna beralih kepada produk yang murah dan mudah digunakan," katanya. Ia menjadi konsep pembangunan modul Lot.my yang mana dengan bayaran RM40 sebulan, peniaga boleh memasarkan kira 100 produk mereka ke seluruh dunia melalui Internet.

Mahir e-dagang
KHAIRUL ANWAR merupakan seorang lagi ahli lembaga pengarah Lot.my yang juga Pengarah Pemasaran, Aidan Technologies Sdn. Bhd. Aidan Technologies merupakan syarikat pemasaran penyelesaian IT, terutamanya dalam e-dagang. Graduan dari Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat itu mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan dan ekonomi. Beliau berkemahiran membangunkan sistem inventori, pengurusan, multilevel, laman web, e-dagang, multimedia dan lain-lain. Dengan pengetahuan ekonomi yang digabung dengan ICT, Khairul Anwar menggunakannya untuk pembangunan dan mengatur strategi pemasaran Lot.my.

Di luar Kotak
RAMAI daripada kita tidak berani mencuba sesuatu yang baru tetapi tidak kepada Nazatul Akhma. Melakukan 'sesuatu di luar kotak,' mungkin itu yang dimaksudkan dengan perniagaan Nazatul Akhma apabila menceritakan mengenai perniagaan perkhidmatan menyewa buku melalui Internet yang ditawarkannya. Graduan daripada Universiti Takushoku, Tokyo, Jepun itu menubuhkan Q' reazant Enterprise bagi menjalankan perniagaan tersebut bersama adiknya, Raja Ezatul Akhma.

Kesimpulannya, aspirasi dan iltizam keenam-enam anak muda ini dalam menjayakan survival mereka adalah suatu yang boleh dicontohi oleh generasi masa kini. Tanpa mengharapkan disuap oleh kerajaan, mereka mencuba melakukan pelbagai kerja dan perniagaan menggunakan tenaga empat kerat dan sekelumit minda.

(Sumber :: Utusan Malaysia - MOHD. RIDZWAN IMAN -pengarang@utusan.com.my)
[ Read More ]
Read more...
Older Posts
Subscribe to: Posts (Atom)
  • Popular
  • Recent
  • Archives

Usahawan Graduan

  • Noor Aini Usahawan Roti
    Antara roti dan kek beraneka jenis yang diusahakan oleh Noor Aini Abdullah di sekitar Pekan Sik, Kedah SIK 23 April – Mungkin ramai ...
  • Mohd. Shahrul lulusan UPM usahawan tani berjaya
    KULIM 12 Mei – Ketika rakan-rakan lain memilih kerja makan gaji selepas menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM), namun bag...
  • Siswazah Menganggur 5 Tahun Jadi Usahawan Tani Berjaya
    JAMALUDDIN Abdul Rashid yang dulunya siswazah menganggur kini menjadi usahawan tani yang berjaya di hadapan banglonya di Kampung Sadek, ...
  • Hidup Senang Dengan Hasil Timun
    Nurwahidah Hambali (kiri) dibantu oleh pekerjanya membungkus timun yang dipetik untuk dipasarkan KUALA SELANGOR 29 Julai – Tidak muda...
  • Irfan Khairi Jutawan Muda
    Irfan Khairi, Jutawan Internet Memperoleh keuntungan lumayan hingga mampu bergelar jutawan pada usia muda menjadi impian setiap ins...
  • Tanaman Cendawan Berbaloi
    Eruan bersama cendawannya DUNGUN 24 Nov. – Tindakan nekad seorang pemuda, Mohd. Eruan Salleh, 28, berhenti kerja di sebuah syarikat te...
  • Coklat Diabetis Zyraz
    SETELAH tiga nama dikatakan tidak serasi, Azian Razak akhirnya memilih untuk menggabungkan nama ibu dan bapa tercinta sebagai jenama...
  • Pakar Bidang IT Terjun ke Kolam Ternakan
    Ikan Keli yang diternak oleh Syarikat Dimensi Rebana sentiasa mendapat permintaan BUKAN mudah bagi seorang yang sudah lama berkecimp...
  • Pengusaha Laman Web Dan Blog
    HANYA menerusi iklan yang masuk ke dalam laman web atau blog, Samsul Zamzuri mampu memperoleh pendapatan lima angka sebulan. SELAIN ...
  • Tekad Usahawan Baru Generasi dot.my
    SIAPA kata anak Melayu tidak mampu merentas sempadan dan berdiri di atas kaki sendiri untuk meniaga? B agi enam anak muda, walaupun baru...

Special Quote

"Perfection is achieved, not when there is nothing more to add, but when there is nothing left to take away."

PAUTAN

QQ

Archives

  • ▼  2011 (10)
    • ▼  November (10)
      • Hidup Senang Dengan Hasil Timun
      • Pakar Bidang IT Terjun ke Kolam Ternakan
      • Noor Aini Usahawan Roti
      • Tekad Usahawan Baru Generasi dot.my
      • Siswazah Menganggur 5 Tahun Jadi Usahawan Tani Ber...
      • Irfan Khairi Jutawan Muda
      • Coklat Diabetis Zyraz
      • Tanaman Cendawan Berbaloi
      • Mohd. Shahrul lulusan UPM usahawan tani berjaya
      • Pengusaha Laman Web Dan Blog
 
 
 
© 2011 Usahawan Graduan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger